Friday, June 22, 2007

Kenangan semasa mengikuti Kursus Keusahawanan di Kuantan


posing jap selepas makan tengah hari di Hotel Grand Continental, Kuantan.

Isu Semasa - Kenaikan Gaji

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Saya terpanggil untuk berkongsi pandangan tentang pengumuman kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri.

Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengumumkan kenaikan gaji tersebut untuk semua kakitangan kerajaan. Tetapi perkara yang memusykilkan saya bagaimana seorang guru yang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun, sambung belajar dan tamat pengajian peringkat ijazah dan kemudian dilantik pada tanggagaji P1T4 selepas ini akan mempunyai jurang pendapatan yang jauh berbeza dengan golongan guru yang tidak sambung belajar hanya mengambilkira genap perkhidmatan 10 tahun dan lulus PTK dan dilantik ke gred DG32.

Bagi guru-guru DGA29 yang tamat belajar sama ada secara sepenuh masa, separuh masa atau PJJ yang telah dilantik ke gred DG41 sebelum pengumuman tersebut berasa seakan-akan dinafikan hak mereka setelah bertungkus-lumus menamatkan pengajian sedangkan mereka sebelum ini kebanyakannya telahpun berkhidmat melebihi tempoh 10 tahun. Jika dibanding guru-guru yang genap perkhidmatan 10 tahun dan lulus PTK yang dilantik ke gred DG32, mereka akan menikmati kenaikan gaji yang cukup tinggi. Ini kerana kenaikan gaji mereka dikira pada gred DG32 yang bermula dengan RM1938.25 manakala golongan guru yang sambung belajar dan dilantik ke gred DG41 rata-rata bermula pada P1T4 (RM1710.60). Jika peratus kenaikan 25% dan 15% masing-masing dikira, maka golongan DG32 lah yang akan lebih untung kerana gaji mereka akan melebihi gaji guru DG41 (yang sambung belajar dan tamat pengajian). Keadaan ini turut dialami saya sendiri kerana akan mempunyai gaji yang cukup berbeza dengan isteri saya (gred DG32) apabila kenaikan gaji ini dikuatkuasakan pada 1 Julai 2007.

Apalah maknanya gred jawatan yang dimiliki jika ianya tidak membawa kepada keadaan yang sepatutnya. Sebagaimana yang dinyatakan NUTP baru-baru ini iaitu seramai lebih kurang 50 orang guru yang mengalami keadaan yang serupa dengan saya. Semoga perkara ini akan mendapat perhatian pihak-pihak yang berkenaan.